Bila mula mengemas, maka bermacam-macamlah entiti-entiti asing yang ditemui. Seakan-akan tidak pernah wujud, tetapi rupanya pernah menjadi hak milik kerajaan saya lama dulu. Hak milik yang dipinggirkan. Itulah nota-nota keramat sewaktu di awal-awal tahun pengajian dahulu. Bukan main lagi menimbun tingginya. Andai dijual, boleh jugalah buat beli keropok lekor dan air tebu beberapa bungkus.
Nota-nota itu amat berjasa kalian tahu? Temani saya kala diagah cikgu secara mengejut di dalam kelas. Dan tentunya amat-amat membantu kala peperiksaan menjelang tiba. Sekarang kalian tahu di mana ia berada? Aman dan sejahtera mendiami tempat gelap dan kusam di bawah katil saya. Ilmu-ilmu itu semua - di bawah katil saya. Sebab itu saya sayang mahu buang. Kiranya ibarat mencampakkan segala-gala keluar dari zona pengetahuan saya dan serasanya menjadi seperti orang bodoh yang tidak tahu apa-apa. Hilang tempat merujuk dan menyemak (walaupun tidak pernah diselak-selak lagi selepas tamat peperiksaan pada tahun tersebut) Nampak sangatlah ilmu itu bukan di dalam dada apatah lagi tersemat kemas di kepala. Aisee...
Teringat kisah Imam Al-Ghazali dan sang perompak saat kafilahnya diserang di tengah perjalanan pulang ke kampung halaman. Apabila tiba giliran Imam Ghazali, lalu ia berkata,
"Kamu boleh ambil apa sahaja yg kamu mahu, tetapi jangan ambil beg ini."
Para perompak mengesyaki sesuatu yang berharga di dalamnya lalu merampas beg tersebut dan menyelongkarnya. Apa yang mereka dapati hanyalah helaian kertas yang tidak berharga dan merasakan diri mereka telah ditipu.
"Apakah ini dikatakan barang berharga bagimu, apa yang akan kamu lakukan dengan kertas buruk ini?" Soal ketua perompak.
"Ini adalah hasil aku belajar bertahun-tahun selama ini, semua catitan ini aku ambil dari guruku. Jika kamu rampas nota-nota ini, maka hilanglah ilmu yang aku pelajari selama ini." Jawab Imam Ghazali.
"Jika begitu kamu adalah orang yang paling bodoh, catitan yang kamu tulis itu bukanlah ilmu jika kamu tidak memahami, mengingati serta menghafalnya. Bayangkan sekiranya aku merampas nota-nota ini, bagaimana keadaanmu? Ini bererti ilmumu dapat dicuri." Balas ketua perompak.
Imam Ghazali terpegun mendengarkan hujah yang tepat dari seorang ketua perompak. Mulai dari saat inilah Imam Ghazali menghafal kembali segala ilmu-ilmunya dan dimasukkan ke dalam ingatannya. Selepas ini tiada siapa lagi yang boleh mencuri ilmunya.
Lalu saya cuba membayangkan andai suatu hari bilik saya dimasuki pencuri dan pencuri itu menyangkakan beg-beg plastik yang penuh di bawah katil adalah harta saya paling berharga. Atau pencuri-pencuri itu memang hanya mahukan nota-nota sahaja (uiks, ada ka?) Betapa banyaknya ilmu saya yang hilang!!
Fuh! Hasilan bertahun-tahun itu lenyap begitu sahaja. Di manakah relevannya kewujudan nota-nota itu sebelum ini andai akhir hayatnya hanya akan dibakul sampahkan?
Barangkali ini bukan masalah besar bagi kalian.
Lalu, harus diapa-apakan nota-nota di bawah katil itu?
Dengarlah kata-kata ketua perompak itu. Dengar dan fahamilah.
Nota: Artikel ini telah dikongsikan di sini selepas mendapat keizinan daripada penulis. Semoga bermanfaat kepada semua.
1 comment:
kehadiran perompak tu dalam hidup imam Ghazali sebenrnya sebagai hikmah...bayangkan klu perompak tu tak berkata begitu, mungkin Imam Ghazali tak tercetus niat utk menghafal ilmu2 tersebut..btulkan??
ingat tak kata2 " jangan melihat kepada siapa yang berkata, tapi lihatlah (dgrlah) kpda apa yang dia katakan" . kata2 ni sgt jelas nisbahnya dalam crita imam Ghazali ni. Imam Ghazali melihat mndengar kepada kata2 tersebut, meskipun yang berkata2 itu adalh perompak ..
Post a Comment